24 November 2016 - 19:40
Perancis Perlu Amalkan Diplomasi Yang Bersifat Global Dan Bebas Daripada Pengaruh Luar: Fillon.

Francis Fillon yang sedang berkempen untuk bertanding sebagai calon parti Republikan di dalam pilihan raya presiden 2017 berkata bahawa kedudukan dan status Perancis di dunia memerlukan negara itu untuk mengamalkan diplomasi yang bersifat global dan bebas daripada pengaruh luar.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Francis Fillon yang sedang berkempen untuk bertanding sebagai calon parti Republikan di dalam pilihan raya presiden 2017 berkata bahawa kedudukan dan status Perancis di dunia memerlukan negara itu untuk mengamalkan diplomasi yang bersifat global dan bebas daripada pengaruh luar.

Menurut Fillon yang sebelum ini muncul sebagai pemenang di dalam pemilihan pusingan pertama parti Republikan dalam menentukan calon Presiden mereka di dalam pilihan raya presiden 2017 berkata bahawa Presiden Perancis baharu perlu memperbaiki hubungan Paris dengan Moscow dan juga Washington.

"Kedudukan Perancis memerlukannya untuk mengamalkan diplomasi yang bersifat global dan bebas (daripada pengaruh luar). Diplomasi kita yang dahulunya sangat pragmatik semasa pencerobohan A.S ke atas Iraq pada tahun 2003 kini sudah bersifat submisif. (Submisif) kepada Brussels, kepada A.S, kepada UNESCO di mana kita tidak mampu untuk mengatakan tidak kepada sebuah resolusi yang menulis semula sejarah Jerusalem. Terkadang (sifat submisif ini juga dilihat wujud) kepada negara-negara Teluk yang mana pengaruh mereka ke atas wilayah negara kita telah membangkitkan banyak persoalan," kata Fillon.

Beliau juga menegaskan bahawa, ketua negara perlu memiliki pandangannya sendiri di samping mempunyai kemampuan untuk menggalas tanggungjawab yang berkaitan. Menurut Fillon juga, pemimpin negara sepatutnya berbincang dengan semua pihak berkaitan termasuk dengan mereka yang memiliki pendapat yang berbeza dalam melakar polisi luar negara.